LENGGONG: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 34 butir peluru hidup 12 Bore, 11 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Roslan Baharom, 50, yang sebelum ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemburuan haram, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Roslan didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri di sebuah rumah beralamat No 42 Kampung Padang Jeri, Gerik, pada jam 12 tengah hari 11 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 34 butir peluru hidup 12 Bore di sebuah rumah beralamat Lot 1907, Perumahan Mesra Rakyat, Kampung Air Pulau, Gerik, jam 2 petang pada tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Azfar memohon mahkamah supaya kes itu disebut semula bagi menunggu laporan senjata api dan balistik peluru serta tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Raja Shahril Anuar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 30 April depan.

NSTP sebelum ini melaporkan sekurang-kurang 20 gajah di hutan sekitar daerah Gerik dipercayai dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki, sejak sembilan tahun lalu.

Empat suspek terbabit ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dari 10 hingga 12 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah pada sidang media 13 Mac lalu dilaporkan berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sudah memperoleh hasil cukup lumayan sepanjang sembilan tahun menjalankan kegiatan pemburuan haram berkenaan dan hingga kini, anggaran keuntungan diraih mereka mencecah RM800,000.

Beliau berkata, hasil penahanan kesemua suspek itu, polis merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan sindiket terbabit.