MIRI 20 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 13 Miri (DM 13) telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan di perairan kira-kira 6 batu nautika dari Kuala Baram di sini semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan kapal berkenaan menerusi Op permai kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, melihat keadaan bot yang mencurigakan, anggotanya bertindak merapati dan memeriksa bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, bot nelayan tempatan itu disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan Jabatan Perikanan.

“Pelbagai jenis ikan seberat 1 tan dianggarkan berharga RM5,000 mengikut harga pasaran semasa telah disita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, empat kru termasuk tekong warga Indonesia berusia 26 hingga 56 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE