ISKANDAR PUTERI: Taktik penyamaran sebagai nelayan antara pendekatan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor bagi menyelesaikan isu penahanan nelayan tempatan oleh penguat kuasa negara jiran ketika mencari hasil laut di perairan negara terutama di Pulau Pisang.

Pengarahnya, Datuk Abu Bakar Idris, berkata pendekatan itu terpaksa diambil selepas enam nelayan ditangkap, iaitu empat pada tahun lalu dan dua awal tahun ini.

“Kita terpaksa meningkatkan pemantauan di sepanjang perairan Batu Pahat, Kukup dan Pontian memandangkan banyak aduan diterima daripada nelayan di kawasan itu.

“Mereka mendakwa diganggu penguat kuasa negara jiran yang bertindak menahan mereka dan meminta duit,” katanya pada sidang media di perairan Pulau Pisang di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu itu berikutan ada antara bot nelayan terbabit ditarik di negara jiran untuk tujuan ugutan dengan lokasinya menjangkaui lapan batu dari Pulau Pisang ke Pulau Karimon, Indonesia.

“Justeru, kita mengambil pendekatan meletakkan beberapa pasukan penguat kuasa di bot nelayan yang berada berhampiran perairan ini supaya dapat memantau gejala ini.

“Kita perlu memantau menggunakan bot nelayan tempatan kerana jika menggunakan bot Maritim Malaysia, mereka akan melarikan diri,” katanya.

Abu Bakar berkata, pihaknya perlu membendung kegiatan ini supaya ia tidak berlarutan hingga menjejaskan nelayan tempatan yang mencari rezeki.

“Paling penting nelayan dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selamat di perairan Pontian, Batu Pahat dan Kukup.

“Jadi dengan menggunakan bot nelayan ini, usaha menahan penguat kuasa terbabit dapat dilakukan, selain anggota berpakaian seragam ditempatkan di bot sama juga dilengkapi senjata bagi tujuan keselamatan,” katanya.

Katanya, aduan yang diterima itu turut membabitkan ugutan, malah mengenakan jumlah pampasan tertentu untuk tujuan melepaskan nelayan terbabit.

“Bagaimanapun kami tidak pasti jumlah terbabit tetapi ia membabitkan nilai yang besar dan pampasan itu dibayar oleh ‘tauke’ (majikan nelayan),” katanya.

Katanya, penyamaran anggotanya juga untuk memastikan individu berkenaan menyamar atau benar-benar penguat kuasa negara jiran yang mengganggu nelayan tempatan – berita harian