KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam menahan empat lelaki warga Myanmar termasuk seorang tekong kerana melanggar zon penangkapan ikan ditetapkan kira-kira 6.2 batu nautika dari perairan Sekinchan, dekat sini.

Mereka yang berusia 24 hingga 51 tahun ditahan ketika sedang leka menangkap ikan dengan menaiki sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1, kira-kira jam 5 petang.

Pengarah Maritim Daerah Klang, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad, berkata hasil siasatan pihaknya menerusi Maritim Malaysia Daerah Maritim 4 (DM4) Selangor mendapati bot itu keluar ke laut sejak enam hari lalu.

“Bagaimanapun, mereka melanggar zon penangkapan ikan yang ditetapkan, sekali gus gagal mematuhi syarat sah lesen vesel yang dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

“Kita percaya tangkapan itu dapat menyelesaikan beberapa aduan yang diterima Maritim Malaysia di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain empat warga asing itu, pihaknya merampas bot yang membawa hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat lebih satu tan.

“Bot itu diiringi ke Jeti DM4 Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Abu Zaki menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius isu perlanggaran zon penangkapan ikan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana kesalahan itu menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai.

“Justeru, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia terutama Selangor akan dijalankan secara berterusan.

“Kita mahu membanterasnya secara habis-habisan sekali gus menyelesaikan beberapa aduan awam berkaitan kegiatan haram seumpama itu,” katanya.