KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pam dipercayai digunakan pemiliknya ketika mengebom ikan di perairan Landayang, Pitas, di sini, pagi semalam.

Kedua-dua bot pam itu ditahan dalam Ops Gasak pada jam 10.50 pagi menerusi operasi bersama agensi keselamatan lain, termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen, kastam, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Taman-Taman Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Boon Chin Chau, berkata dua bot pam itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu ditinggalkan oleh pemiliknya yang disyaki warga asing dan menemui beberapa peralatan iaitu botol kaca kosong dan karung plastik baja urea (Ammonium Nitrate) kosong dalam sebuah bot berkenaan.

“Kedua-dua bot pam itu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran disyaki melakukan kegiatan mengebom ikan di perairan berkenaan,” katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut peraturan 8(1) dan (2) Enakmen Pelabuhan dan Darmaga 2002 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Chin Chau berkata, operasi bersama itu adalah kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan dalam mengekang kesalahan atau pelanggaran undang-undang di perairan Kudat.

“Operasi bersama ini dijalankan selama dua hari sehingga semalam membabitkan enam pegawai dan 33 anggota penguat kuasa. Dua bot laju dari Maritim Malaysia dan dua bot laju dari PPM digunakan dalam operasi ini,” katanya – berita harian