KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan seorang kru bot memancing yang diserang asma di perairan Tanjung Po di sini, awal pagi tadi.

Kru bot terbabit, Chua Soon Cho, 44, menghadapi kesulitan apabila mengalami sesak nafas ketika bot dinaikinya berada di kedudukan 19 batu nautika dari Tanjung Po.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot itu, pada jam 4.20 pagi.

“Sejurus aduan diterima, sebuah kapal Maritim Malaysia, KM Mengalum digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan Operasi Medevac (Medical Evacuation) terhadap kru bot pemancing itu.

“Bot pemancing itu ditemui pada jam 6.50 pagi tadi dan mangsa dipindahkan ke KM Mengalum dan segera dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Shahref berkata, setibanya di jeti KOMTAS pada jam 7.20 pagi, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak di sini, dengan bantuan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, tindakan pantas pemilik kapal itu menghubungi Maritim Malaysia berjaya mengelak keadaan kru terbabit bertambah buruk.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang berdepan situasi kecemasan di perairan Sarawak supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia  berita harian