IPOH13 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan enam daripada 10 markah untuk prestasi exco kerajaan negeri setahun selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui Perak.

Menurutnya, markah yang diberikan itu lebih baik daripada lima daripada 10 markah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada menteri Kabinet.

“Tun Mahathir bagi lima daripada 10, saya bagi enam per 10, jadi exco Perak pada pandangan saya lebih baik sikit daripada menteri Kabinet pada mata Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama wartawan negeri Perak sempena setahun kerajaan PH Perak di sini semalam.

Mengulas mengenai cabarannya setahun menerajui Perak, Ahmad Faizal berkata, sebagai Menteri Besar, beliau perlu sentiasa lapangkan dada dan berfikir secara terbuka.

Menurutnya, beliau menerima semua pandangan dan akhirnya membuat keputusan berlandaskan kepada kebaikan kepada rakyat.

“Pada pandangan saya ‘you don’t have to clever, you don’t have to be too experience’ tapi akhirnya pada saya jika ‘you have a good adviser, experience people’ maka anda akan membuat satu keputusan yang akan membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE