Kuala Kangsar: Sebuah bengkel di Kampung Menora, di sini yang dipercayai dijadikan markas mengubah suai motosikal curi dan menjual air ketum diserbu polis awal pagi semalam.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak dengan kerjasama Agensianti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak dalam operasi yang berakhir jam 1 pagi itu.

Timbalan Ketua JSPT Perak Deputi Superintendan Deputi Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan mengenai kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram di bengkel berkenaan.

Maklumat yang diperoleh mendapati bengkel terbabit juga menjadi markas penunggang motosikal berkumpul sebelum memulakan aktiviti samseng jalanan di sekitar Kuala Kangsar, Ipoh dan Taiping.

“Operasi membabitkan dua pegawai bersama sembilan anggota JSPT Perak dan seorang pegawai serta tujuh anggota AADK Perak dijalankan bermula jam 6 petang semalam dan berakhir 1 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui tiga motosikal membabitkan dua Yamaha RXZ dan sebuah Honda Wave 125 yang semua enjinnya sudah diubah suai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, polis turut menemui 50 bungkus air ketum dan dua plastik penuh dengan daun ketum di kawasan berhampiran bengkel berkenaan.

“Susulan itu dua lelaki ditahan membabitkan pemilik bengkel berusia 33 tahun dan seorang penganggur berusia 25 tahun yang dipercayai penjual air ketum.

“Dalam operasi itu turut diperiksa 32 motosikal dan 55 penunggang motosikal yang didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik selain sembilan tangkapan berusia 15 hingga 43 tahun membabitkan kes dadah oleh AADK,” katanya.

Kamarulzaman berkata, pemilik bengkel disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi motosikal dan Seksyen 29(1) KK kerana kerana memiliki barang yang tidak dapat ditentukan kesahihan puncanya.

“Kes air ketum pula, suspek berusia 25 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, manakala bagi kesalahan trafik sebanyak 139 saman dikeluarkan,” katanya.-metro