LOS ANGELES: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez menegaskan dia tidak menyimpan dendam terhadap Valentino Rossi apabila dua pelumba itu sekali lagi bersaing pada Grand Prix (GP) America di Texas, hujung minggu ini.

Pelumba Sepanyol itu dalam misi memburu kejayaan keenam berturut-turut di Austin apabila dia kembali ke litar yang di dominasinya sejak litar berkenaan dimasukkan ke dalam kalendar perlumbaan berprestij itu sejak 2013.

Penunggang Repsol Honda berumur 25 tahun itu tiba di Amerika Syarikat, minggu ini selepas insiden perlanggaran dengan Rossi di GP Argentina, dua minggu lalu apabila dia dikenakan penalti 30 saat selepas melanggar pelumba Itali itu ketika cuba memotongnya.

Rossi yang gementar dengan tindakan Marquez itu berkata, dia rasa “takut” dengan kehadiran penunggang Sepanyol itu di litar, dan menuduh juara dunia itu mengundang risiko kepada penunggang lain.

“Saya takut di atas litar apabila bersama Marquez,” kata Rossi di Termas de Rio Hondo, Argentina.

“Saya takut apabila melihat namanya di papan utama.”

Marquez yang kelihatan tenang bagaimanapun berkata, dia tidak mempunyai permusuhan peribadi terhadap ikon Itali berumur 39 tahun itu.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan Valentino, saya bersedia bercakap dengannya. Mungkin kami akan berjumpa lagi di Suruhanjaya Keselamatan,” katanya.

Marquez berkata, dia menyaksikan sekali lagi rakaman aksinya di Argentina dan mengakui melakukan kesalahan sekali gus berjanji untuk mempelajari daripada kesilapan itu.

“Saya suka menganalisa semuanya. Ia situasi baharu, saya melakukan sesuatu dengan baik dan buruk. Pada akhirnya, kami adalah penunggang dan juga manusia, kami berlumba dengan ada had dan boleh melakukan kesilapan,” katanya.

Marquez kini berada di tempat kelima dalam kedudukan keseluruhan pelumba selepas berakhir dua pusingan dengan mengumpul 20 mata. – AFP