MELAKA: Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang kekal utuh dapat menjamin masa depan anak yatim, khususnya dalam bidang akademik, kokurikulum dan kerohanian.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pembelaan nasib anak yatim itu dapat dilaksanakan berikutan kestabilan ekonomi negara dan kemakmuran hidup bermasyarakat.

“Masa depan golongan anak yatim terus mendapat nikmat dan kebaikan daripada kebijaksanaan kepemimpinan negara dan negeri.

“Saya yakin usaha ini boleh diteruskan walaupun dalam suasana berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Temasya Sukan Anak Yatim Semalaysia (SUKYA) Ke-11 di Stadium Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Yaakub Md Amin dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Semalaysia (PEYATIM), Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor.

SUKYA yang berlangsung selama lima hari bermula 17 Mac hingga Rabu ini dianjurkan oleh MAIM dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dengan kerjasama PEYATIM.

Idris turut memuji penganjuran SUKYA yang turut mengetengahkan acara Tilawah al-Quran, sekali gus memberi pendedahan dalam dua bidang berbeza untuk melengkapi kehidupan di dunia dan akhirat.

“Meskipun temasya ini mempunyai kelainan dengan peserta terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai ibu atau bapa, peraturan pertandingan tetap sama,” katanya.

Terdapat seramai 300,000 anak yatim seluruh negara, dengan 4,000 orang berada di bawah naungan PEYATIM – berita harian