KUALA LUMPUR: Permintaan pasaran dunia untuk komoditi yang baharu diperkenalkan, kenaf dijangka mencecah RM3.5 bilion menjelang 2025.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata meskipun baharu diperkenalkan namun komoditi itu terbukti dapat digunakan secara meluas sebagai bahan material mentah penting dalam pembangunan produk hijau.

“Untuk pasaran tempatan, industri kenaf dianggarkan dapat menjana sehingga RM350 juta.

“Dijangkakan, keluasan kawasan tanaman kenaf di Malaysia juga akan meningkat dari 2,213 hektar pada 2017 kepada 14,000 hektar menjelang 2025.

“Pasarannya semakin luas dan ia juga boleh dijadikan pilihan oleh pekebun selain tanaman komoditi utama seperti getah atau kelapa sawit,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Pusat Galeri Agarwood Cultural City serta bantal kayu gaharu dan kenaf pertama di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah.

Menurut Kok, selain kenaf, industri gaharu juga semakin mendapat perhatian peringkat antarabangsa.

Katanya, gaharu digunakan secara meluas dalam pembuatan aromaterapi, sabun wangian dan sebagainya.

“Pada 2017, nilai eksport produk gaharu dianggarkan RM16 juta, meningkat 6.67 peratus berbanding RM16 juta pada tahun sebelumnya.

“Di pihak kementerian, kita sentiasa mengalu-alukan usaha dan kerjasama sektor swasta dalam mempromosikan serta meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai industri kayu gaharu dan kenaf di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan pasaran komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit, Kok berkata, harga dua komoditi sentiasa turun naik bergantung kepada permintaan serta pengeluaran.

Justeru beliau turut menggesa pekebun kecil supaya menceburkan diri dalam penanaman komoditi baharu untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka – berita harian