IPOH: Industri kecantikan dan spa tempatan mempunyai masa depan yang sangat cerah, seiring dengan perkembangan industri pelancongan perubatan atau medical tourism.

Bagaimanapun, pengusaha spa mesti berusaha mengikis imej negatif, kononnya ia seperti rumah urut, jika mahu terus kekal relevan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata, berdasarkan statistik, industri itu telah menyumbangkan lebih RM666 juta kepada ekonomi negara di samping memberi banyak peluang pekerjaan.

 

spa

“Saya melihat prospek rawatan kecantikan ini mempunyai permintaan yang cukup tinggi kerana spa dan kecantikan tidak boleh dipisahkan, bukan sahaja untuk wanita tetapi juga lelaki.

“Saya juga melihat prospek spa ini sekarang apabila kita juga antara negara dan juga negeri menjadi tumpuan medical tourism dan saya melihat spa juga turut memainkan peranan dalam pelancongan sebenarnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung ke tiga Persatuan Usahawan Spa Perak (SISPA) di sini pada Isnin.

Hadir sama Presiden Persatuan Spa Malaysia, Norliza Othman, Pengarah MITI Perak, Fauziah Ibrahim, Pengarah SME Corp Perak, Mohd Rozlan Mohd Razali dan Pengarah MARA Perak, Dr Azmi Ahmad Murjan.

Di majlis itu, Taj International College (TIC) turut menyumbangkan biasiswa RM1 juta untuk pelajar melanjutkan pelajaran di dalam bidang spa dan kecantikan di kolej tersebut.

Turut diadakan adalah pelancaran produk kecantikan Imanchanteq yang dikeluarkan seorang pengusaha tempatan dari Pengkalan Hulu.

Sementara itu, Pengerusi SISPA, Naziah Pir Khan berkata, persatuan akan terus memperjuangkan kepentingan ahli-ahli di samping menggalakkan lebih ramai pengusaha spa menyertai persatuan.

“Tambahan pula sekarang sudah ada pendidikan seperti Kolej Komuniti, Giatmara dan IKBN yang melatih usahawan spa terutamanya anak-anak muda wanita untuk bergiat aktif.

“Kita mahu mengangkat industri spa ke tahap yang membanggakan dan kita mahu membawa industri ini sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau yakin lebih ramai usahawan spa di negeri ini akan menjadi ahli SISPA tahun ini, sebagai tambahan kepada hampir 100 ahli yang ada sekarang.