IPOH: Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Malaysia akan berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan hala tuju dan masa depan golongan itu di bawah kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Ramli Norani berkata, perjumpaan itu dijadual diadakan pada 25 Oktober ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Menurut Ramli, sebelum ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Kita akan menyediakan dokumen lanjut untuk dibentangkan kepada Tun Mahathir mengenai masa depan penjaja dan peniaga kecil di bawah kerajaan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat agung tahunan ke 17 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua PPPKM Negeri Perak, Asmadi Teh.

Ramli mengakui kira-kira dua juta ahli persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu di seluruh negara masih memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri, termasuk menghidupkan kembali peranan yang dimainkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang diwujudkan pada 2004.

Katanya, ketika kewujudkan kementerian itu, usaha untuk membangunkan penjaja dan peniaga kecil, yang kebanyakkannya terdiri daripada mereka yang berumur lebih 50 tahun, mula menampakkan hasil.

Bagaimanapun, ujarnya, usaha itu terhenti apabila MECD dibubarkan dan peranannya dibahagi-bahagikan dan diserap oleh kementerian lain.

Pandangan itu turut disokong Asmadi yang berharap kerajaan meneruskan beberapa program yang membantu golongan penjaja dan penjaja kecil seperti dana pinjaman dan Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan.

“Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang dan pembentangan Bajet 2019 tidak lama lagi, kita berharap kerajaan akan teruskan usaha untuk memartabatkan penjaja dan peniaga kecil.

“Teruskan dana dan geran, malah kalau dapat ditambah lagi. Penjaja dan peniaga kecil masih memerlukan tongkat dan jika tidak dibantu, kita bimbang masa depan mereka akan terus samar,” tambahnya.