JOHOR BAHRU – Masalah petak parkir yang dilihat tidak mencukupi di sekitar Jalan Ayer Molek dan Jalan Dato Onn, di sini, bukan hanya mendatangkan kesukaran bagi orang awam yang ingin berurusan di pejabat-pejabat di sekitarnya malah mengganggu aliran trafik.

Ini kerana pemandu yang tiada pilihan terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sebagai penyelesaian termudah.

Pekerja swasta, Mohd Hisyam Md Noor, 43, berkata, ketiadaan parkir menyusahkan dia untuk melakukan urusan di kawasan itu.

“Urusan saya jadi lambat kerana menunggu petak parkir kosong. Kalau ada urusan saya biasanya akan keluar sekitar jam 8.30 pagi, tapi petak parkir sudah penuh.

“Kawasan letak kereta berbayar di tanah lapang bersebelahan bangunan Tabung Haji juga telah penuh,” katanya.

Mohd Hisyam berkata, keadaan itu sering kali terjadi malah dianggap membuang masa.

“Pernah sekali itu, saya bukan pusing sekali untuk cari petak parkir kosong, hampir 10 kali pusing dan tunggu lebih sejam baru bernasib baik dapat parkir.

“Masa banyak terbuang di situ, itu belum lagi berurusan, beratur dan menunggu. Kadang-kadang sampai tengah hari baru urusan selesai,” katanya.

Manakala bagi Razali Rahman, 28, masalah itu sudah lama berlaku dan semakin teruk ketika awal dan hujung bulan kerana ramai pengunjung datang ke bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pejabat Pos, di sini, untuk berurusan.

Katanya, dia lebih gemar menaiki motosikal ketika berurusan di bandar raya itu kerana lebih mudah dan cepat.

“Memang susah nak dapat parkir kereta di sini, kalau sekali lalu nasib baik memang dapat, tapi selalu memang kena pusing dua atau tiga kali baru dapat parkir,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah tersebut dan telah menambah petak parkir, namun masih tidak mencukupi.

“Kita sudah tambah petak parkir tetapi masih tidak boleh memenuhi permintaan kerana kawasan ini memang menjadi tumpuan orang ramai untuk berurusan,” katanya.

-SinarHarian