TANJUNG MALIM – Masalah bekalan air terputus di Felda Gunung Besout 4 telah diambil maklum dan diambilkira dalam projek naik taraf sistem bekalan air Felda Gunung Besout.

Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk Besout 4 berkenaan masalah tersebut selain bekalan air di kawasan itu memang bermasalah apabila penggunaan tinggi.

Katanya, keadaan itu berlarutan untuk beberapa tahun dan pada tahun ini ia bertambah serius.

Menurutnya, paras kolam Gunung Besout 1 berada pada paras baik dan dijangka tiada masalah untuk bekalan pengguna Felda Gunung Besout 1 , 2 dan 3.

“Felda Gunung Besout 4 masih menggunakan tangki untuk membekalkan air kepada para penduduk selain tangki Felda Gunung Besout 5 pada paras berjaga-jaga dan dipantau rapi.

“Air perlu dipam dari loji untuk tingkatkan paras kolam Gunung Besout 1 yang merupakan kolam utama untuk mengisi kolam yang lain selain ia merupakan kolam utama untuk mengisi air di Felda Gunung Besout 4 dan 5,” katanya dalam satu kenyataan, petang semalam.

Lih Kang berkata, buat masa sekarang ini, kapasiti pam tidak dapat menampung pengeluaran air selain pihak tengah cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

“Perkara ini telah diambil maklum dan diambilkira dalam projek naik taraf sistem bekalan air Felda Gunung Besout yang dalam perlaksanaan,” katanya.

Terdahulu, beberapa penduduk kampung berkenaan memuat naik status di Facebook dan laman-laman sosial lain mengenai masalah air tersebut.

Majoriti mereka mengharapkan masalah air sejak sekian lama dapat diatasi segera demi kemudahan penduduk – sinar