IPOH: Kadar jenayah di Buntong pada masa ini masih berada dalam keadaan terkawal kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, walaupun jumlah laporan polis yang direkodkan di balai Polis Kampung Baharu Buntong meningkat dari 2,505 pada tahun 2015 kepada 2,817 pada tahun 2016, namun ianya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

Beliau menjelaskan, laporan polis itu merangkumi kesemua kategori kes dan bukan sahaja jenayah semata-mata, ianya terdiri daripada kes keciciran dokumen, kematian mengejut, bencana, manusia hilang, perselisihan faham dan pelbagai lagi.

“Kalau kita melihat dari aspek jenayah yang melibatkan jenayah kekerasan, samun, curi kereta, curi dalam rumah dan sebagainya pula pada tahun 2015 ialah 86 laporan manakala 2016 ialah 72 laporan,” katanya ketika menjawab soalan lisan A. Sivasubramaniam (DAP-Buntong) semasa sidang DUN pada Jumaat.

Namun tambah Menteri Besar, polis tetap meningkatkan usahanya untuk mengurang serta mengekang sebarang aktiviti melanggar undang-undang di kawasan-kawasan yang kerap berlaku jenayah.

“Di Buntong, polis sentiasa menggunakan konesep kehadiran polis bagi menimbulkan kegusaran dikalangan penjenayah dan meningkatkan keyakinan orang awam.

“Selain itu, polis juga sentiasa mengadakan rondaan kenderaan menggunakan motosikal atau kereta sekerap mungkin melalui kawasan-kawasan yang berubah mengikut trend semata selain sekatan jalan raya serta mengedar risalah atau ceramah,” jelas beliau.