BAGAN DATUK: Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Bagan Datuk yang masuk hari kedua (Rabu) berjaya menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang yang dihadapi selama hampir enam tahun oleh 300 pelajar Sekolah Menengah Al-Ulum Al’Syariah berasrama penuh di Batu 20 dekat sini.

Projek  Pemasangan Paip Air Utama UPVC berukuran 100 mm sepanjang 210 meter  di lorong tepi Masjid Batu 20 itu yang mengambil masa tiga hari untuk diselesaikan bermula 11 Januari lalu.

Projek yang siap pada 13 Januari itu turut memberi kelegaan kepada kira-kira 1,000 jemaah Masjid Al’ Aziziah dan penghuni dua buah rumah berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, projek di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Air Perak (LAP) itu melibatkan kos RM35,000.

Menurut beliau, projek itu membabitkan khidmat pegawai dan anggota dari 60 Rejimen Skuadron Negeri Perak.

“Biasanya, sebelum Program Permukiman, kita minta pihak jabatan dan agensi itu membuat siasatan dahulu apa isu-isu yang berlaku dan ini antara isu yang diberi perhatian oleh LAP untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Projek Pemasangan Paip 100 mm UPVC di Lorong Tepi Masjid Al’ Aziziah Batu 20, Selekoh dekat sini pada Rabu. Hadir sama Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Menurut Zainol, pihak LAP juga telah memasang satu paip bomba untuk kemudahan penduduk sekiranya berlaku kecemasan.

Sementara itu Pengetua Sekolah Menengah Agama Al’ Ulum Al’ Syariah Berasrama Penuh, Nazri Mokhtar berkata, sebelum ini pelajar terpaksa menghadapi masalah mendapatkan bekalan air kerana tekanan rendah.

Beliau menambah, masalah itu juga melibatkan urusan harian di dewan makan dan kantin sekolah.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada LAP yang telah membantu menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang dihadapi pihak sekolah selama ini,” ujarnya.