IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mendapati masih ada segelintir peniaga yang gagal mematuhi arahan tanda harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Timbalan Pengarahnya, Shamsul Nizam Khalil berkata, bagaimanapun secara keseluruhan majoriti peniaga memahami dan mematuhi arahan ketika Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dilaksanakan.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan oleh segelintir peniaga ini adalah tidak menggunakan warna merah jambu bagi tanda harga untuk barangan kawalan.

“Mereka ini bukan tidak bertanggungjawab tetapi hanya tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang-barang kawalan.

“Tapi kebanyakan peniaga memang dah biasa dengan skim ini dan mereka menjual barangan yang ditetapkan pada harga kawalan maksimum yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 Peringkat Negeri Perak di Pasar Raya Tesco Extra Bercham, di sini.

Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, skim kawalan harga tersebut bermula 3 hingga 9 November ini yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, biarpun majoriti peniaga sebelum ini mematuhi peraturan, KPDNHEP tetap mengingatkan mereka bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Dalam usaha untuk melindungi pengguna, kementerian turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguat kuasa di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan Omnipresence,” katanya.

Menurut Shamsul Nizam, skim ini dilaksanakan agar pengguna memperoleh barangan keperluan musim perayaan pada harga yang berpatutan sekaligus menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.