IPOH: Masih terlalu awal untuk mengukur prestasi kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How.

Menurut beliau, walaupun beberapa pasukan seperti Terengganu dan Pulau Pinang sedang mendahului senarai kedudukan pingat pada hari ketiga temasya, Perak masih mampu untuk mengejar.

“Ada masa lagi, masih terlalu awal untuk membuat penilaian,” katanya pada sidang media di Pusat Media SUKMA XIX di sini, hari ini.

Masuk hari ketiga temasya pada Jumaat, Perak menduduki tangga kelapan dengan tiga emas, berbanding Terengganu (10) dan Pulau Pinang (9).

Mengenai sambutan rakyat Perak terhadap SUKMA, Howard Lee berkata, berdasarkan maklum balas yang diperolehi, sambutannya sangat menggalakkan.

Beliau turut bersyukur kerana upacara perasmian mendapat sambutan cukup hebat walaupun dalam keadaan hujan.

Malah, kata beliau, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan dengan upacara perasmian itu.

“Ketika bersalaman, baginda berkata well done, well done, well done, tiga kali kepada saya,” ujarnya.