IPOH: Masih banyak rumah kediaman, premis perniagaan dan kenderaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan ke – 61 tahun ini.

Sambil menyifatkannya sebagai mengecewakan, Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, seharusnya perayaan ini disambut dengan begitu meriah oleh setiap rakyat yang sayangkan negara.

Menurut beliau, tidak ada sebab untuk semua rakyat tidak mengambil bahagian kerana ini adalah perayaan untuk seluruh negara.

“Kita meraikan kemerdekaan negara kita dari cengkaman penjajah. Jadi saya berharap supaya kesedaran akan dipertingkatkan lagi menjelang sambutan Hari Malaysia 16 September depan,” katanya dalam wawancara khas di Perak FM di sini, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang telah menunjukkan semangat sayangkan negara dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing.

“Ini membuktikan mereka peka dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pelbagai program telah disusun, bermula malam ini dengan kayuhan merdeka di Dataran Bandaraya, dan majlis Sayangi Malaysiaku di Bulatan Amanjaya yang dipenuhi dengan selawat dan qasidah.

Selain itu, kata beliau, turut diadakan perbarisan Hari Kebangsaan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh pada pagi 31 Ogos yang menyaksikan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Pada jam 11 malam pula, pihak Movie Animation Park Studio (MAPS) akan menganjurkan Malaysiaku Merdeka Concert dengan tiket masuk hanya RM30 seorang dan yang menariknya selain mendapat akses kepada semua permainan yang telah beroperasi, pengunjung juga akan mengadakan pertunjukan bunga api,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga Ipoh dan seluruh rakyat Perak untuk datang beramai-ramai menyaksikan aktiviti yang akan dianjurkan.

Mengimbau kembali zaman kecilnya menyambut kemerdekaan, YAB Ahmad Faizal berkata, saban tahun, awal pagi dengan berpakaian baharu, beliau dibawa bapanya untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan.