PARIT BUNTAR, 23 Nov (Bernama) — Penantian selama 18 tahun untuk melihat Masjid Jamek Matang Gerdu, di sini berwajah baharu bakal menjadi kenyataan apabila masjid berkenaan akan dibina semula dengan kos sebanyak RM3.5 juta.

Pengerusi Masjid Jamek Matang Gerdu, Abdul Karim Hussin Kadir berkata pembinaan masjid baharu itu perlu kerana masjid sedia ada yang dibina pada 1938 sudah dimamah usia dan terdapat struktur reput berikutan separuh daripadanya dibuat menggunakan kayu.

“Masjid itu akan dibina semula di tapak baharu (belakang masjid asal) awal tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh setahun,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bernilai RM500,000 kutipan wakaf daripada orang ramai kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk masjid itu di sini hari ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata mengikut perancangan asal masjid terbabit sepatutnya dibina pada 2014 dengan kos RM3 juta, namun tergendala berikutan beberapa masalah termasuk kariah.

“Namun hasil perbincangan yang dibuat akhirnya kata putus diperolehi dan dipersetujui dan ia akan dibina pada Feb atau Mac tahun depab dengan kos RM3.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

“JKR akan membuat iklan tender pada 7 Dis ini dan akan mengadakan lawatan tapak pada 21 Dis ini,” katanya.

Sham berkata apabila siap kelak, masjid baru itu dapat memuatkan lebih 800 orang jemaah dalam satu-satu masa.

— BERNAMA