SITIAWAN – Penduduk sekitar Sitiawan akan mendapat sebuah masjid baru apabila Masjid Al-Nasariah siap pada awal November ini.

Masjid yang sedang dalam pembinaan semula itu bernilai RM6.5 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ia akan menjadi mercu tanda kepada bandar tersebut.

“Masjid yang ada sudah lama dan telah dirobohkan untuk tujuan pembesaran.

“Pembesaran masjid disebabkan oleh bilangan jemaah yang bertambah dan kapasiti untuk masjid itu dijangka boleh menempatkan 2,000 orang atau lebih pada satu-satu masa.

“Sitiawan juga merupakan bandar yang sangat sibuk dan mempunyai penduduk yang ramai, maka ia memerlukan sebuah masjid baru yang lebih selesa,” ujar beliau ketika ditemui pemberita ketika sidang akhbar di Kampung Kelantan, Teluk Muroh, di sini hari ini.

Masjid setinggi dua tingkat beserta dua buah kuarters berkembar satu tingkat dibina di atas tanah kerajaan seluas 1.5 hektar.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan masjid itu, Dr Zambry berkata tiada kelewatan dari pihak kontraktor yang dilantik dan beliau sangat berpuas hati melihat sendiri perkembangan kerja yang dilakukan di situ.

Terdahulu, Dr Zambry meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan masjid dan diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ahahmeed Tarmizi Ramli dan Jurutera Daerah Manjung Balamurugan A. Gopal.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Manjung Datuk Mohd Faris Mohd Hanif.

Kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan projek ini ialah Ekram Builders Sdn Bhd.