IPOH: Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya dekat sini memperkenalkan program rak makanan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pengerusinya, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, pelbagai keperluan makanan seperti tepung, beras, gula dan minyak diletakkan di rak itu setiap hari.

Menurutnya, rak makanan itu diletakkan di kawasan terbuka, bersebelahan pejabat masjid bagi memudahkan mereka yang memerlukan untuk mengambilnya.

d8b5b050-6ceb-492b-aa96-1e793596c20a

“Sesiapa sahaja boleh mengambilnya dan kita akan tambah mana yang kurang setiap hari,” katanya kepada pemberita sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018 di masjid itu pada Ahad.

Sambutan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak ((JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Dr Fadzli Cheah yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim (MACMA) Ipoh berkata, sesiapa sahaja boleh memberi sumbangan untuk program rak makanan.

Sementara itu, Dr Zambry yang menyambut baik program itu berharap ia dapat dicontohi oleh masjid-masjid lain di seluruh negeri Perak.

Dalam pada itu, kata Menteri Besar, beliau akan melihat bantuan yang boleh diberikan untuk program pembangunan fasa dua masjid itu yang dikatakan melibatkan kos kira-kira RM2 juta.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina itu, Dr Zambry berkata, ia adalah salah satu budaya masyarakat Cina yang turut membuktikan bahawa Islam bukan hanya untuk satu-satu kaum sahaja.

Menurut beliau, Islam adalah untuk semua dan kalau ia dapat diterapkan dalam kehidupan, masyarakat akan hidup dalam aman dan damai.