TAPAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Daerah Tapah serta berbuka puasa di masjid berkenaan di kemarin.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan gimik perasmian serta memperkenankan pertukaran nama Masjid Daerah Tapah kepada Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat sementara menunggu masuk waktu Maghrib untuk berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Sultan Nazrin berkenaan menyampaikan agihan zakat sebanyak RM140,500 kepada Penghulu Mukim Sungkai (RM71,500), Chenderiang (RM36,500), Batang Padang (RM19,750) dan Bidor (RM12,750) yang mewakili keseluruhan 562 penerima.

Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan penyampaian replika cek zakat fisabilillah berjumlah RM25,000 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datuk Raja Abd. Jalil Raja Zaid kepada Pengerusi Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Shahrul Affendi Baharuddin. – UTUSAN ONLINE