IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid di negeri Perak hendaklah memastikan tiada penganjuran sebarang aktiviti politik, termasuk ceramah diadakan di masjid dan surau di dalam kariah masing-masing.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, arahan itu bagi memastikan agar masjid dan surau kekal menjadi pusat ibadah pusat ilmu dan penyatuan ummah.

Menurutnya, penganjur ceramah agama pula hendaklah mematuhi peraturan yang menetapkan sebarang penganjuran ceramah agama hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah sekurang kurangnya 14 hari sebelum ceramah diadakan.

“Arahan ini terkandung dalam Peraturan Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013.

“Mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, peraturan itu telah diperingatkan berkali-kali dan wajar diberi perhatian demi keharmonian masyarakat khususnya umat Islam.