Masjid Lama Kampung Teluk Memali mungkin kedengaran agak asing pada sesetengah penduduk di negeri ini. Namun hakikatnya masjid ini menyimpan seribu sejarah dek kerana usiannya yang kini menjangkau 108 tahun.

Walaupun sarat dengan sejarah, agak sayang masjid ini dalam keadaan terbiar sejak sekian lama. Ianya mula ditinggalkan apabila penduduk sekitar Kampung Teluk Memali yang terletak di Kampung Gajah yang juga merupakan kariah masjid berpindah keluar. Penempatan ini ditinggalkan kerana penduduk sering berdepan dengan masalah banjir akibat limpahan air Sungai Perak terutama di musim hujan. Keadaan ini menyebabkan masjid ini tidak digunakan serta dibiarkan usang tanpa pengjagaan selama hampir 40 tahun.

Walaupun lama ditinggalkan penduduk kampung, namun struktur bangunan masjid ini yang dibina daripada kayu cengal dan jati terus utuh.

Menariknya, Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini mempunyai seni bina dan reka bentuk yang menggambarkan ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang indah.

Masjid ini mempunyai nilai seni dan tahap pertukangan yang tinggi yang dapat dilihat pada mimbar, selusur tangan dan ukiran panel dinding yang diukir dengan motif bunga yang rumit dan halus.

Dengan keunikan senibina serta nilai sejarahnya, bangunan masjid ini layak dikategorikan sebagai aset peninggalan warisan yang perlu dipertahankan.

Atas kesedaran mengenai nilai sejarah dan kepentingan untuk memulihara bangunan warisan tersebut buat tatapan bagi generasi akan datang, masjid lama ini yang berusia 107 tahun telah dipindahkan ke tapak baru untuk dibangunkan semula sebagai sebuah surau di kawasan seluas 0.5 ekar di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani, Ipoh.

Usaha murni pemuliharaan warisan tersebut dilaksanakan ATSA Architects Sdn Bhd (ATSA Architects) dengan kerjasama arkitek Masjid Negara, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim dan Politeknik Ungku Omar.

“Usaha ini dilakukan menerusi proses pemindahan, pembaikan dan penggunaan semula bangunan masjid ini sebagai sebuah surau di tapak baru di Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak.

 

Usaha murni ini mampu direalisasikan setelah mendapat kebenaran penuh daripada para penduduk asal Kampung Teluk Memali, sebagai pemegang amanah wakaf struktur bangunan,” ujar Azim ketika ditemui Suara Perak.

Masjid Lama Kampung Teluk Memali yang terletak di Kampung Gajah adalah kemungkinan binaan sedia ada yang tertua di daerah Perak Tengah yang dibina pada tahun 1910.

Sebelum ini pada tahun 1900 ia merupakan sebuah surau yang terletak di tebing Sungai Perak. Bangunan ini kemudiannya berpindah ke lokasi yang lebih selamat kerana hakisan tebing sungai.

Ianya dikatakan diilhamkan seorang pemastautin awal yang tidak diketahui untuk mengubah fungsi surau sedia ada kepada sebuah pusat pengajaran formal pendidikan agama yang memberi pendidikan formal.

Fungsinya juga adalah sebagai sebagai lokasi untuk perayaan agama bagi penduduk kampung di situ dan penempatan berdekatan.

Adalah dipercayai pemastautin awal tersebut telah menyumbang wangnya sendiri untuk tujuan tersebut.

Reka bentuk Masjid Lama Kampung

Rekabentuk masjid ini banyak mencerminkan sebahagian besar ciri-ciri rumah Melayu tradisional dengan senibina yang mempunyai tindak balas kepada keadaan iklim yang panas dan lembap. Bumbungnya berbentuk cerun membolehkan air hujan bergerak cepat, tiangnya pula mampu menaikkan masjid di atas paras tanah untuk mengelakkan banjir. Ia juga memiliki banyak ruang termasuk tingkap kecil, dan ukiran panel untuk membolehkan pengudaraan silang secara semula jadi.

“Masjid ini menggambarkan tahap ketukangan yang tinggi yang boleh dilihat pada selusur tangan, ukiran panel dinding, papan fascia dan mimbar yang direka dengan baik dengan motif bunga yang rumit. Satu ciri menarik masjid ini ialah ia tidak dilengkapi dengan menara,” kata Azim.

Kos Pulihara Sebanyak RM600,000

Azim berkata sejumlah RM600,000 dibelanjakan bagi tujuan memulihara, dan mengalih semula masjid lama tersebut.

Menurut beliau usaha yang dilakukan pihaknya dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil masa lebih setahun untuk memindahkan dan memulihara masjid lama itu ke kawasan baru.

Kerja-kerja memulihara itu berjaya mengekalkan nilai warisan dan keaslian seni bina dan struktur rumah ibadat itu bagi memastikan nilai sejarahnya tidak lupus ditelan zaman.

“Pihak kami mengambil masa yang lama untuk memindahkan struktur bangunan masjid itu kerana perlu dibaik pulih. Ia termasuk menggantikan kayu jenis cengal dan jati yang rosak dengan baru. Kerja ini dilakukan dengan berhati-hati kerana mahu pastikan ianya sama dengan asal.

“Kami turut memindahkan kolah wuduk dengan menggalinya di tapak asal dan membina kemudahan tambahan seperti balai lintang dan tandas untuk memudahkan pengguna masjid ini,” katanya ketika selepas majlis penyerahan bangunan masjid itu kepada MAIPk.

Tambah Azim, kerja membaikpulih masjid tradisional ini dilakukan mengikut piawaian Jabatan Warisan Negara dan kini dalam proses permohonan pewartaan status dijadikan bangunan warisan negara.

Seimbangkan Unsur Tradional, Moden Cipta Kelainan

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIPk, Mohd Haidi Sulaiman berkata pemindahan masjid lama ini ke kawasan baru mendapat sokongan jabatan dan diluluskan majlis fatw

“Walaupun bangunan lama tapi ianya selamat untuk digunakan jemaah kerana telah memenuhi segala keperluan yang digariskan oleh PBT dan mendapat sijil selamat,” kata beliau.

Mengulas mengenai lokasi Bandar Seri Botani, Mohd Haidi berkata ia bertujuan untuk menyeimbangkan unsur tradisional dan moden di kawasan perumahan tersebut.

“Kita memilih Bandar Seri Botani kerana mahu unsur-unsur tradisional masjid ini bercampur dengan kawasan di sini yang baru dan moden sekali gus menjadi satu kelainan dan unik bagi satu kawasan perumahan,” katanya.