SUNGAI SIPUT: Masjid India Muslim Sungai Siput (U) yang terletak di Jalan Besar, Kampung Suppiah Pilai menjadi masjid pertama di Perak yang membuka ruang serta kemudahannya kepada pengunjung terutamanya musafir secara 24 jam.

Lebih menarik, pembukaan masjid 24-jam itu turut dibantu individu bukan Islam di kawasan berdekatan dengan memberi pelbagai bentuk sumbangan termasuk papan tanda untuk masjid berkenaan.

Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Kuala Kangsar, Majlis Agama Islam Perak (MAIPK), Faizal Mohd Spari berkata, pembukaan masjid 24 jam itu diharap akan mengubah persepi masyarakat yang menganggap masjid hanya sekadar tempat untuk menunaikan ibadah solat.

“Kebiasannya masjid sering dianggap hanya untuk melakukan ibadah, namun sebenarnya ia lebih daripada itu, ia mempunyai pelbagai fungsi.

“Kita harapkan perkara ini tidak terhenti di sini sahaja dan diharapkan semua 971 masjid di Perak turut menggunakan konsep mesra musafir ini untuk kita mengimarahkan masjid pada setiap waktu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan papan tanda Masjid Mesra Musafir oleh M. Yogendirabalan, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, sumbangan orang ramai termasuk daripada orang bukan Islam buat masjid itu juga seharusnya dijadikan contoh bahawa perbezaan agama tidak seharusnya menghalang masyarakat untuk saling membantu.

“Walaupun Yogendirabalan dari agama lain namun beliau tetap berbesar hati untuk membantu masjid ini, ia menunjukkan bahawa kita di Malaysia ini hidup dalam suasana harmoni.

“Bahkan agama Islam sendiri tidak pernah menghalang mana-mana agama untuk memberi sumbangan, diharapkan tindakan ini akan menjadi contoh untuk seluruh rakyat negara supaya kita dapat hidup bersama-sama dengan aman,” ujarnya.

Sementara itu, Yogendirabalan berkata sumbangan ikhlas berkenaan merupakan cara beliau berkongsi rezeki yang dikurniakan oleh tuhan.

“Semua masyrakat kami bantu, kerana ini adalah tempat asal saya dan tuhan telah memberi saya banyak rezeki jadi lebih elok jika dikongsi bersama masyarakat setempat,” kata beliau.

Masjid yang dibina pada tahun 1930 itu bakal menawarkan pelbagai kemudahan termasuk dewan solat, tandas, tempat istirehat dan parkir kereta.

Satu dewan baharu juga sedang dirancang untuk dibina di perkarangan masjid dalam masa terdekat hasil daripada sumbangan Yogendirabalan.