IPOH: Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah dan mudah menghulurkan sumbangan, lebih-lebih lagi untuk tujuan amal.

Kerana itulah ada individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas sifat keprihatinan itu untuk kepentingan mereka sendiri.

Bagi mengelakkan perkara itu berulang, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) melantik masjid negeri sebagai penyelaras bagi semua tabung bantuan kemanusian, sejak tahun lalu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, masjid negeri menjadi pusat pengumpulan sumbangan daripada kira-kira 680 buah masjid di seluruh negeri.

“Kita buat secara tersusun melalui hebahan di masjid- masjid dan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk bersama mengelolakan tabung ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena penyerahan cek Tabung Bantuan Kemanusiaan untuk rakyat Syria di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Cek bernilai RM154,561.99 itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeir, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria kepada wakil Yayasan Hayrat Turkie di Malaysia, Yusuf Kara.

Yayasan Hayrat Turkie adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf oleh kerajaan Turki, untuk membantu rakyat Syria, sama ada di dalam, mahupun di luar negara bergolak itu.

Mohd Yusop memberitahu, sumbangan itu berjaya dikumpulkan ketika dua Jumaat lalu dan akan diteruskan untuk membantu umat Islam yang ditimpa bencana.

Drs Nizar pula berkata, sebelum ini, tabung bantuan kemanusiaan itu telah menghulurkan sumbangan hampir RM150,000 ringgit untuk membantu pelarian Rohingya melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Menurut beliau, sumbangan itu adalah atas rasa simpati dan keprihatinan umat Islam di negeri ini yang turut sama merasai keperitan hidup yang dilalui oleh saudara mereka di tempat lain.

“Ini menunjukkan rasa soladiriti ukhwah yang cukup tinggi, khususnya sesama muslim sebagai role model yang terbaik di peringkat bangsa, manusia yang ada di atas muka bumi ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Yusuf Kara memberitahu, selain daripada bantuan kemanusian, pihaknya juga melakukan usaha memberi pendidikan untuk kanak-kanak syria.

.Masjid negeri selaras tabung bantuan kemanusiaan 2

Masjid negeri selaras tabung bantuan kemanusiaan 3