PUTRAJAYA : Masjid Putra yang ditutup kepada lawatan pelancong asing sejak Ahad lepas berikutan kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus novel 2019, dibuka semula pada jam 2 petang tadi.

Jurucakap pengurusan masjid itu berkata, para petugas masjid akan mengamalkan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah keselamatan terhadap jangkitan koronavirus.

“Sebelum ini, Masjid Putra ditutup kepada lawatan berikutan ada kebimbangan terhadap keselamatan petugas masjid memandangkan kita menerima ramai pengunjung asing setiap hari.

“Bermula hari ini, petugas akan ikut nasihat Kementerian Kesihatan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, beberapa masjid yang menjadi tumpuan pelancong seperti Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dilaporkan ditutup kepada lawatan pelancong asing berikutan kebimbangan terhadap koronavirus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan kesal dengan larangan itu dan menyatakan ia bukanlah dasar kerajaan.