Subscribe Now

Trending News

Masjid rugi RM8,000 53 kepala paip dicuri
Nasional

Masjid rugi RM8,000 53 kepala paip dicuri 

ALOR GAJAH 9 Feb. – Kerajaan negeri kesal de­ngan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang mencuri 53 biji kepala paip Masjid Ar-Rahman Parit Me­lana di sini yang baru dua minggu beroperasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau kecewa kerana kecurian itu berlaku pada saat-saat akhir sebelum masjid itu disiapkan sepenuhnya menyebabkan kerugian hampir RM8,000 bagi kos menggantikan peralatan tersebut.

“Sepatutnya kejadian ini tidak berlaku kerana ia bukan budaya orang Melaka.

“Untuk itu saya meminta semua lapisan masyarakat terma­suk peniaga supaya membantu menangani isu ini dengan mela­porkan kepada pihak berkuasa jika didatangi individu yang ingin menjual peralatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas majlis pe­rasmian Masjid Ar-Rahman Parit Melana yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob di Durian Tunggal di sini, hari ini.

Masjid yang bernilai RM4.6 juta itu dibina di atas tapak baharu seluas 1.2 hektar mulai 15 Januari 2016 dan siap sepenuh­nya 16 Januari lalu, mampu menampung sejumlah 1,200 orang jemaah pada satu-satu masa.

Idris dalam pada itu turut me­nyarankan pengurusan masjid agar memasang sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan dan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengekalkan kontrak jawatankuasa masjid sedia ada di seluruh negeri sehingga Disember tahun ini walaupun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, kontrak terbabit yang turut melibatkan jawatan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sepatutnya berakhir pada 1 Jun ini boleh disambung mengikut dasar kerajaan negeri – utusan

 

Related posts