IPOH – Percaya dengan bakat terpendam rakyat, kerajaan negeri menganjurkan Pertandingan Mereka dan Mencipta Maskot Wow Perak! sebagai satu persediaan awal untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, yang bakal berlangsung setahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri YB Tan Kar Hing berkata inilah masa yang sesuai warga Perak mempamerkan kreativiti mereka dengan menyertai pertandingan ini.

“Pertandingan ini bermula hari ini sehingga 15 Ogos,  dibuka kepada semua warga Malaysia untuk mengambil bahagian bukan sekadar rakyat negeri Perak. Ia dibuat secara terbuka  kerana kita percaya bahawa ada banyak bakat yang kreatif, berinovasi dan mereka mampu mencipta suatu maskot yang unik dan comel untuk negeri Perak.

“Saya nampak kita harus ada satu duta yang sebegini supaya ia boleh kita bawa mengikuti keseluruhan program yang berkaitan dengan pelancongan, seni dan budaya yang berkaitan dengan negeri di masa akan datang,” kata beliau.

Tan bercakap pada satu sidang Pertandingan Mereka dan Mencipta Maskot Wow Perak! di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Negeri Perak Zuraida Md Taib.

Mengulas mengenai pemilihan maskot baru untuk menggantikan Seladang yang sinonim dengan negeri ini, YB Tan berkata beliau ingin membuka minda rakyat bahawa terdapat haiwan lain yang tidak kurang popular untuk diangkat menjadi maskot negeri.

“Bukan setakat ada seladang, tetapi di negeri Perak, kita ada sun bear, kita ada burung enggang yang unik di Royal Belum, Gerik, juga orang utan di Orang Utan Island, Bukit Merah, Semaggol dan sebagainya.

Saya tidak mahu menghadkan kreativti orang ramai, kalau boleh saya alu-alukan cadangan ataupun design daripada mereka,” katanya lagi.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dan syarat lengkap penyertaan di laman web Tourism Perak, laman Facebook dan juga di pejabat Tourism Perak.

Penyertaan lengkap boleh diemelkan kewow@tourismperakmalaysia.com atau diposkan ke alamat Tourism Perak Management Berhad (Unit Acara), 22, 22A & 22B, Jalan Teh Hawa, 30000 Ipoh, Perak. Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, hubungi 052499966.

Hadiah tempat pertama berupa wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan serta lima hadiah saguhati bernilai RM1,000 serta sijil penghargaan menanti para pemenang.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 Ogos ini pada pukul 12 tengah hari manakala pemenang akan dimumkan pada 30 Ogos.

Penaja bersama untuk pertandingan ini ialah Menteri Besar Incorporated (MB Inc.), Movie Animation Park Studio (MAPS) Ipoh, Syeun Hotel Ipoh, Kellie’s Castle Batu Gajah dan Bulit Merah Laketown Resort.