IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bukanlah orang asing di Kuala Kangsar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, namun Mastura sudah lama menetap di Kuala Kangsar dan memahami permasalahan serta situasi rakyat di situ.

Menurut beliau, calon BN itu telah berkahwin dengan orang Kuala Kangsar, tinggal dan membesarkan anak-anaknya di situ.

Beliau berkata, suami Mastura (Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) telah menjadi wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan sejak tahun 2008 dan kemudiannya menjadi menjadi Ahli Parlimen pada 2013.

“Dia telah bersama-sama dengan suaminya sebelum ini dengan menyertai pelbagai program bersama rakyat Kuala Kangsar, jadi dia bukanlah asing kepada orang Kuala Kangsar seperti yang diuar-uarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, pemilihan Mastura dapat meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang telah disusun oleh Allahyarham suaminya.

“Saya harap rakyat dapat memberi tumpuan dalam konteks PRK ini, bagaimana kesinambungan kerja yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen sebelum ini dapat diteruskan.

“Ini kerana kita hanya ada dua tahun sahaja lagi untuk melengkapkan tempoh lima tahun itu (tempoh perkhidmatan Ahli Parlimen), maka lebih wajar bagi saya dan BN untuk kita lengkap perkhidmatan itu,” ujarnya.

Tambah Menteri Besar lagi, Mastura telah pun dipilih berdasarkan kriteria dan penilian yang dibuat secara mendalam oleh pihak kepimpinan BN secara bermusyawarah.

Beliau menjelaskan, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengamalkan prinsip musyawarah mendengar pandangan-padangan selain mengunakan kajian pandangan secara sainstifik.

“Tida ada isu juga sama ada calon itu hadir atau tidak kerana kita turut menghormati pandangan agama, apatah lagi keputusan yang melibatkan perempuan yang kematian suaminya.

“Kepimpinan terlebih dahulu telah merujuk kepada mufti dan ahli agama bagi mengetahui kedudukan sama ada boleh atau pun tidak dan pabila keputusan diberikan barulah kepimpinan membuat keputusan,” jelasnya mengenai pemilihan Mastura sebagai calon pada PRK itu.