KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mengambil kesempatan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 dengan melawat Laman Media.

Kehadiran beliau kira-kira jam 11.30 pagi Sabtu diiringi dua anaknya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair’il Anuar dan Wan Iskandar.

Dua keduanya, Wan Amar Izat tidak bersama kerana menghantar isterinya ke pejabat manakala anak bongsunya Wan Muhammad Ammar sedang melanjurkan pelajaran dalam bidang undang-undang di London.

Turut mengiringi Mastura ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kuala Kangsar, Nor Suhaini Abdul Wahab.

Antara tujuan utama lawatannya ialah untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan liputan media yang diberikan kepada beliau semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pertengahan tahun ini.
Mastura mengakui, media banyak memainkan peranan membantunya, lebih-lebih lagi beliau sendiri tidak boleh berkempen seperti calon-calon lain, kerana masih di dalam idah selepas kematian suami, Datuk Wan Mohammad Khair’il Anuar Wan Ahmad.

Pada PRK Kuala Kangsar, Mastura memperolehi 12,653 undi menewaskan Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) yang memperoekgi 5,684 undi, calon PAN, Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi)

Dengan majoriti undi lebih 6,000, Mastura berjaya melebarkan jurang majoriti undi lebih besar berbanding yang diperolehi parti itu dalam PRU13.