KUCHING: Sokongan padu masyarakat Cina di Sarawak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan menjamin kesejahteraan masyarakat itu terus diperjuangkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan, secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan yang akhirnya memanfaatkan mereka sendiri.

“Kita mengharapkan masyarakat Cina terus menyokong dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri agar lebih banyak peluang perniagaan dapat terus diwujudkan untuk semua,” katanya pada majlis penyampaian ang pau kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Lawas, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan menegaskan, kerajaan BN sentiasa komited untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial terus terpelihara.

Justeru, katanya kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mengukuhkan nilai-nilai positif dan pada masa sama, meningkatkan taraf hidup serta mengekalkan keharmonian dan kestabilan supaya rakyat akan terus menikmati manfaat tinggal di negeri ini.

“Apa-apa tindakan yang boleh memberi impak negatif kepada perpaduan dan kestabilan perlulah dielakkan untuk membolehkan kita mencapai aspirasi membangun dan memajukan Sarawak dengan berkesan.

“Ini seterusnya membolehkan kerajaan meningkatkan lagi tahap sosio ekonomi rakyat dan membawa lebih banyak kemajuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan dalam masyarakat berbilang kaum, semangat perpaduan yang kukuh adalah asas pening ke arah kejayaan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya.

“Rakyat kita boleh meraikan semua perayaan dan hari kebesaran seperti Tahun Baharu Cina dengan penuh rasa muhibah dan meriah, dan ini haruslah kita kekalkan,” katanya – berita harian