PARIT BUNTAR: Masyarakat Cina mesti memikirkan kestabilan negara sebelum membuat keputusan parti hendak disokong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Barisan Nasional (BN) walaupun dianggotai parti pelbagai ideologi dan perjuangan, sentiasa sepakat terutama dalam perkara dasar sekali gus mewujudkan kestabilan pentadbiran negara.

Sebaliknya, beliau berkata, pakatan pembangkang yang belum lagi memerintah negara, tidak mampu bersepakat dalam perkara asas, iaitu pelantikan pemimpin yang mengetuai gabungannya.

“Pakatan pembangkang sudah cacamarba dari segi kepemimpinan. Perkara mudah pun tidak boleh berpakat. Tidak ada dalam dunia satu parti mempunyai tiga ketua.

“Katakanlah jika mereka menang (PRU-14), sudah pasti akan bertelagah sebab ada tiga orang layak jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, masyarakat Cina yang sebahagian besarnya terbabit dalam perniagaan memerlukan kerajaan yang kuat, kukuh dan stabil untuk memastikan kesinambungan dan pengembangan perniagaan mereka.

“Mereka (pakatan pembangkang) sudah cuba dua kali (PRU-12 dan PRU-13) tetapi tidak berjaya.

“Jadi harap (pengundi Cina) kembali semula kepada BN,” katanya. – Berita Harian Online