PANGKOR: Masyarakat Cina di Pangkor mendapat satu lagi manfaat hasil keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan kaum di pulau peranginan itu.

Ini berikutan dengan siapnya bangunan krematorium di Sungai Pinang Kechil bagi memenuhi keperluan keagamaan masyarakat Tiong Hua di disitu.

Pembinaan krematorium itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan telah menelan belanja sebanyak RM1 juta.

Ianya dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor pada petang Ahad.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Zambry menasihati masyarakat Cina supaya menjaga krematorium baru itu yang dibina bagi menggantikan kemudahan keagamaan yang terlalu usang.

“Bangunan ini siap dan dirasmikan pada hari ini. Jangan pula ada yang mengganggap ini semua ianya ada kaitan dengan politik. Sebenarnya masyarakat Cina telah lama datang berbincang dengan saya untuk diadakan kemudahan seperti ini,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut hadir memohon supaya masyarakat Cina di Pangkor dapat menghargai setiap keprihatinan dengan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, arus pembangunan baik dari segi peluang pekerjaan serta sektor pelancongan malah status sosial di Pangkor telah jauh meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Dari pengamatan saya, selain aspek pendidikan yang amat dititikberatkan oleh Dr Zambry sebagai ADUN Pangkor selama ini, beliau juga amat mengambil kira setiap aspek lain yang membantu memudahkan kehidupan seharian masyarakat di Pangkor begitu juga dengan elemen kerohanian.

“Seingat saya, sewaktu tiba di Pangkor pada September 2017 krematorium ini masih berada pada fasa awal pembinaan namun lihatlah hari ini, ianya sudah lengkap dibina untuk kegunaan mereka yang telah pergi terlebih dahulu, inilah yang dikatakan janji yang diberi berdasarkan keperluan rakyat dan dikotakan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena program Majlis Perasmian Krematorium baharu di Sungai Pinang Kechil, dekat sini pada hari ini.

Dr Mah berkata krematorium itu merupakan salah satu bukti mengenai betapa pesat dan seimbangnya pelan pembangunan dan rangka kerja yang disusun untuk masyarakat di sekitar Pangkor.

“Hargailah setiap sumbangan kerajaan negeri di bawah pimpinan Dr Zambry, seorang anak jati Pangkor yang telah membesar bersama anda di pulau ini. Saya percaya telah banyak pembangunan yang dibawa beliau selain memastikan semua pelan pembangunan jangka panjang akan dilaksanakan,”ujarnya lagi.

Pada majlis itu, Menteri Besar meluluskan RM200,000 peruntukan tambahan bagi tujuan penambahbaikan kawasan sekitar krematorium itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan motorsikal eletrik usahasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada beberapa Pertubuhan badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Pulau Pangkor.

Penggunaan motosikal elektrik itu bertujuan menjadikan pulau peranginan itu sebagai sebuah pulau rendah karbon.