TAIPING – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat untuk mengelakkan pembaziran makanan sempena bulan Ramadan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp Malaysia) menganjurkan kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran.

Majlis itu diadakan di Tapak Bazar Ramadan Kamunting dan Majlis Perbandaran Taiping dipilih sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama untuk kolaborasi ini dan akan diteruskanke 14 PBT yang lain di dalam negeri Perak selepas ini.

Pengarah SWCorp Malaysia Negeri Perak, Fatimah Ahmad berkata ini adalah program kesedaran awam di dalam bulan Ramadan untuk mengingatkan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengelakkan pembaziran makanan di bulan yang mulia ini.

Dari kiri: YB Muhd Fadhli, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Datuk Abd Rahim Md Ariff dan Fatimah Ahmad (tudung putih) ketika mengedarkan apron kepada para peniaga di Tapak Bazar Ramadan Kamunting

“Ini adalah kerana peningkatan pembaziran makanan kita lihat saban tahun rakyat Malaysia membazirkan makanan lebih kurang 8,000 tan sehari. Sebanyak 3,000 tan sehari dibazirkan pada bulan Ramadan yang terdiri daripada sisa makanan ataupun makanan yang belum kita sentuh.

“Ini adalah program kesedaran yang SWCorp bawa kepada semua rakyat Malaysia untuk menyedarkan bahawa bulan yang mulia ini adalah bulan ibadah jadi kalau kita membazir makanan, separuh daripada pahala itu dah hilang,” kata beliau ketika sidang media selepas pelancaran kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran pada hari ini.

“Kami perkenalkan dan menggalakkan penggunaan mangkuk tingkat untuk rakyat yang memilih untuk membeli juadah di bazar Ramadan.

Turut hadir ialah Yang DiPertua MPT Datuk Abd Rahim Md Ariff.

Fatimah turut menyeru umat Islam di negeri Perak supaya tidak membazir makanan dengan membeli makanan dalam jumlah yang diperlukan sahaja, menyediakan makanan mengikut jumlah ahli keluarga dan untuk sekali makan, membawa mangkuk tingkat ke bazar Ramadan untuk mengelakkan memneli makanan dalam jumlah yang berlebihan dan membawa beg guna semula untuk mengelakkan pertambahan penggunaan beg plastik.

“Apabila kita bawa mangkuk tingkat, tupperware ke atau bekas, ia akan menghadkan kita untuk terus membeli secara berlebihan. SWCorp juga memberi beg kitar semula untuk membantu mengurangkan edaran beg plastik di dalam negara kita.

“Dengan mengguna semula dapat mengurangkan pengedaran beg plastik dan ini adalah salah satu matlamat kerajaan kita untuk menjaga alam sekitar,” kata beliau.

Menyentuh mengenai pemilihan MPT sebagai PBT pertama untuk kempen ini, Fatimah berkata ia adalah berdasarkan kepada komitmen MPT dan juga masyarakat Taiping yang dilihat mempunyai kesedaran yang lebih baik.

“SwCorp akan ke lokasi kedua di Tanjung Malim pada 23 Mei ini untuk melancarkan kempen sama di sana,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kamunting YB Muhd Fadhil Nuruddin berkata beliau menyokong penuh kempen tersebut kerana ia merupakan pendekatan yang lazim di kalangan rakyat iaitu 3R – Reduce, Reuse dan Recycle.

“Jika dilihat pada aspek Reduce pun sudah mencukupi di mana kita kurangkan jumlah makanan yang kita ambil. Jika diikutkan nafsu, semua kita mahu makan. Jadi, R yang pertama itu, reduce patutu diamalkan baik untuk makanan atau apa sahaja biarlah dalam kuantiti yang sederhana,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar masyarakat menghormati bumi dan alam sekitar supaya tidak dirosakkan untuk kegunaan generasi akan datang.

Terdahulu, Muhd Fadhil dan Abd Rahim mengedarkan beg guna semula kepada 20 pengunjung bertuah dan menyerahkan apron kepada 164 peniaga yang berniaga di bazar tersebut.

Tujuan penyerahan apron itu adalah untuk memberi peringatan kepada para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan diri semasa menjalankan perniagaan.

Bazar Ramadan Kamunting merupakan bazar yang terbesar di dalam Taiping dengan 140 tapak bagi makanan sedia masak dan minuman sedia bancuh, 18 tapak bagi jualan makanan berbakar dan enam tapak bagi jualan minuman berproses.