BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu masyarakat India di negara ini menjadikan prinsip yang dipegang oleh bintang filem terkenal, M.G. Ramachandran (MGR) sebagai contoh dalam kehidupan mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana walaupun MGR sudah tiada dan hanya tinggal kenangan, semangatnya tetap membara dalam kalangan masyarakat Tamil di seluruh dunia sehingga kini.

Menurutnya, selain amat menghormati ibu, mendiang MGR yang meninggal dunia pada 1987 juga sentiasa membantu orang susah semasa hayatnya.

“Saya sendiri contohi prinsip-prinsip beliau. Saya cukup hormat ibu saya walaupun dia tiada Lagi. Setiap kali balik Bagan Datuk, saya tetap melawat kubur dia tanda hormat saya kepada dia.

“MGR juga suka bantu orang susah. Saya pegang prinsip itu. Saya tetap bantu orang susah sama ada orang itu orang India, orang Cina atau orang Melayu.

“Sebab saya anak kampung, saya tahu cara hidup anak kampung. Walaupun tinggi jawatan saya, saya tetap ingat dan akan bantu penduduk Bagan Datuk,’’ katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan Pertubuhan Peminat Bintang Filem MGR Bagan Datuk di Dewan Sanmarka Orang India di sini, malam ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berharap akan lahir seorang tokoh di negara ini yang mampu membela masyarakat India seperti yang ditunjukkan oleh bintang filem terkenal itu.

“Kita belajar apa yang dibuat MGR, iaitu daripada seorang bintang filem menjadi ahli politik yang berjaya. Harap ada seorang tokoh dan ahli politik yang ikut macam beliau, bantu membangunkan masyarakat India di negara ini,’’ ujarnya. – UTUSAN ONLINE