Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Barisan Nasional (BN) Perak akan memastikan keterlibatan wakil rakyat MIC di dalam pembangunan negeri akan dilaksanakan secara progresif meskipun terdapat percanggahan pendapat yang berlaku di peringkat atas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sentiasa turun padang dan bersedia mengambil maklum masalah yang dialami oleh masyarakat India di Perak bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga.

Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, beliau menyedari pertikaian politik yang berlaku baru-baru ini namun ianya tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pentadbiran bagi menjamin mutu perkhidmatan di peringkat akar umbi.

“Soal parti ini masing-masing mungkin ada pandangan mereka tetapi yang paling penting adalah mereka (MIC) memberikan dokongan kepada pendekatan yang dijalankan oleh Barisan Nasional.

“Yang paling penting, MIC menjadi tulang belakang kepada parti (BN) kerana dalam konteks keseluruhan, seorang wakil rakyat MIC sebenarnya mewakili BN, turun ke lapangan dan menyelesaikan masalah dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam program bersama masyarakat India sempena Program Permukiman Batang Padang di sini, hari ini.

Dr Zambry mengambil contoh Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan, sebagai wakil rakyat MIC yang tidak putus-putus mendekati masyarakat dan pengundi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Beliau (Saravanan) memberi khidmat terbaik kepada semua. Oleh itu, nilai perkhidmatan beliau tidak pernah dipersoalkan oleh Melayu, Cina dan India kerana semuanya dijaga dan diberikan perhatian.

“Memang ada yang mengatakan bahawa kononnya masyarakat India berpecah disebabkan pertikaian politik tapi saya lihat sendiri, wakil rakyat pergi kepada semua orang dan menyelesaikan masalah semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, Perak akan memastikan pemimpin dari semua kaum diiktiraf dan dipilih berdasarkan keperluan dan kependudukan di negeri itu.

Katanya, sehingga hari ini, Perak muncul sebagai negeri yang mempunyai tujuh ketua kampung dari kaum India yang dilantik berdasarkan keperluan dan konteks masyarakat di lokasi berkenaan.

Tegasnya, usul dan cadangan ketua-ketua kampung dari masyarakat India telah diterima dan akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dengan segera bagi membincangkan kesesuaian penduduk di setiap lokasi berkenaan.