TAPAH – Masyarakat umum perlu memainkan peranan sama menjaga kebersihan dan tidak hanya mengharapkan majlis daerah semata-mata.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah (MDT), Azizi Abdul Aziz berkata, penjagaan kebersihan di daerah ini bukan hanya terletak pada pekerja di peringkat MDT sahaja.

“Ini adalah tanggungjawab bersama di mana penduduk perlu membantu MDT untuk menjaga kebersihan di kawasan sekitar.

“Dalam masa sama, masyarakat sendiri menjaga dan memastikan kawasan sekeliling mereka sentiasa bersih,” katanya selepas mengadakan turun padang bersama petugas pembersihan di sekitar Temoh Sungai Lesong, Pekan Ayer Kuning, di sini.

Turut serta, Setiausaha MDT, Muhamad Sahlan Husnin dan Ahli Majlis, M Santhanasamy.

Azizi berkata, program turun padang itu adalah usaha berterusan yang akan melibatkan Ahli Majlis dan pemimpin tempatan pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau juga mengambil inspirasi daripada menteri besar yang turun padang bersama-sama petugas pembersihan di Ipoh dalam usaha mendekati mereka dan mewujudkan satu semangat dalam kerja berpasukan.

“Pada masa sama, kita juga menghargai petugas pembersihan kerana mereka ini tulang belakang yang membantu menjaga kebersihan termasuk di kawasan seliaan MDT,” katanya.

-SinarHarian