IPOH : Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegur tindakan sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung yang tidak menggunakan bahasa Melayu pada kain rentang yang memaparkan program anjuran sekolah berkenaan.

Beliau yang membuat teguran di ruangan komen dalam akaun laman sosial Instagram milik Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kain rentang itu perlu menggunakan bahasa Melayu terutama apabila Jata Negara turut diguna pakai.

“Maaf YB (Yang Berhormat). Memandangkan logo kerajaan digunakan pada poster dan juga YB merupakan wakil kepada kerajaan, poster mestilah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Minta YB menegur pihak sekolah,” tulisnya dalam ruangan komen tersebut.

Komen Maszlee itu mendapat 111 tanda suka daripada warganet dengan rata-rata mereka menyokong teguran berkenaan dan menyifatkan tindakan menggunakan simbol negara perlu diikuti dengan bahasa rasmi negara.

Gambar kain rentang tersebut dimuat naik oleh Kor Ming dalam laman Instagram beliau malam tadi untuk memaklumkan kehadiran ke sekolah tersebut esok selain menyampaikan bantuan.

Kain rentang yang memaparkan tulisan dalam bahasa Cina itu juga antara lain mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Teluk Intan itu kembali semula ke sekolah lama beliau.

Bagaimanapun, Kor Ming ketika dihubungi berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana kain rentang berkenaan bukanlah kain rentang rasmi program yang akan dihadirinya.

“Versi bahasa kebangsaan memang cukup jelas dan semua pihak memang menghormati bahasa kebangsaan termasuk pihak sekolah.

“Saya harap tiada mana-mana pihak akan jadikan isu kerana yang penting kita turun padang berbakti dan membantu rakyat yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

– UTUSAN ONLINE