PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti dan kabinet telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh memegang jawatan itu.

“Saya rasa keputusan (parti dan kabinet) jelas dan saya fikir beliau menjawab perlu lebih banyak masa.

“Saya harap beliau faham,” katanya pada sidang media di sini Isnin.

Sabtu lalu, Maszlee mengelak daripada menjawab soalan wartawan mengenai perkara tersebut.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai tindakan Maszlee melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhyiddin berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

“Saya tidak pasti mengenai perkara itu dan saya tidak boleh mengulas lebih,” katanya.

Isnin minggu lalu, UKM dalam kenyataannya mengumumkan bekas Menteri Kabinet dan tokoh korporat berkenaan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuatkuasa 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2021, menggantikan Tan Sri Dr Ibrahim Saad. – Sinar Harian