KUALA TERENGGANU: Polis menahan lelaki dikenali sebagai Mat Cekah yang dipercayai terbabit satu kes pukul seorang mekanik menggunakan pasu dan batu di Jalan Losong, di sini, pada 9 Mei lalu.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, jam 11.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata suspek mengambil keputusan menyerah diri selepas mengetahui dia diburu polis sejak kejadian 9 Mei lalu.

Hasil soal siasat, katanya, suspek mengaku terbabit dalam kejadian pukul yang menyebabkan seorang lelaki berusia 51 tahun cedera pada kepala dan patah tulang rusuk kiri.

“Ketika ini, kita sedang mengesan dua lagi rakannya berusia 40-an dan orang ramai yang ada maklumat mengenai dua lagi suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mat Cekah kini direman enam hari hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan tiga lelaki memukul seorang mekanik menggunakan pasu dan batu di bengkel kereta di Jalan Losong, di sini kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan kos baik pulih kenderaan RM500 dikenakan mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa yang cedera pada kepala dan patah tulang rusuk kiri turut ditendang pada muka dan kepala, selain diikat menggunakan dawai besi – berita harian