SUNGAI PETANI: Dua penunggang motosikal dipercayai mat rempit nyaris merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik apabila melanggar papan tanda bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Tanpa mereka sedari, antara yang terpaksa mengelak daripada dirempuh dalam kejadian itu adalah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Sharif, yang turut berada di lokasi operasi.

Pihak berkuasa melakukan sekatan jalan raya sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2018 di Jalan Bakar Arang di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Dua penunggang terbabit dari arah bandar dilihat menunggang secara berbahaya dengan menyelit di celah kenderaan sebelum memecut motosikal ke arah anggota JPJ dan trafik.

Anggota JPJ dan trafik yang cuba menahan kedua-dua penunggang itu terpaksa mengelak selepas kedua-dua penunggang bertindak agresif dengan merempuh papan tanda di tengah jalan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasruddin, berkata 2,121 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan di seluruh Kedah sepanjang tempoh operasi.

“Operasi bertujuan memastikan pengguna jalan raya mengamalkan pemanduan berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya.

“Dalam operasi malam tadi, sejumlah 270 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, tiada cukai jalan dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini – berita harian