LUMUT 27 Mei – Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping yang masih belum dibuka kepada pengguna menjadi lokasi mat rempit berlumba.

Dalam operasi Op Khas Samseng Jalanan Ramadan di jajaran WCE berhampiran susur keluar ke Ayer Tawar dekat sini semalam, sebanyak 283 individu ditahan untuk diperiksa kerana menunggang laju dan berbahaya.

Operasi yang bermula pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam itu disertai Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Manjung.

MOTOSIKAL yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan di WCE berhampiran susur keluar ke Ayer Tawar dekat Lumut semalam. – UTUSAN ONLINE

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, operasi tersebut merupakan hasil risikan selama seminggu di tapak projek lebuh raya itu.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan sebanyak 283 individu dan 277 motosikal diperiksa dengan 374 saman dikeluarkan serta 11 motosikal disita.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan, penunggang bawah umur serta pelbagai kesalahan trafik lain,” katanya di sini hari ini.

MOTOSIKAL yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan di WCE berhampiran susur keluar ke Ayer Tawar dekat Lumut semalam. – UTUSAN ONLINE
Menurut Muhammad Hanif, walaupun lebuhraya itu masih lagi belum dibuka namun, mat rempit sudah merasmikannya terlebih dahulu.

Beliau berkata, mereka mengambil kesempatan menjadikan lebuh raya yang masih belum dibuka itu sebagai ‘port’ baru mereka untuk aktiviti lumba haram sejak dua bulan lalu.

“Sebelum ini lokasi di Jalan Ayer Tawar-Lumut berhampiran sebuah pusat bowling di Seri Manjung menjadi tumpuan mereka untuk merempit.

“Bagaimanapun lokasi itu sering digempur pihak polis membuatkan mereka mencari lokasi baru.

“Jadi mereka memilih WCE sebagai lokasi baru memandangkan ia agak tersorok dari jalan utama dan masih belum dibuka kepada orang awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE