IPOH: Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik di sini pada Selasa atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga merempuh seorang anggota polis trafik, bulan lalu.

Muhammad Yusri Zamzuri, 20, dari Taman Siputeh Pancaran, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu ketika pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah.

Muhammad Yusri yang baharu menamatkan pengajian dalam bidang otomotif didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 3.30 pagi, 17 Disember tahun lalu di Jalan Leong Boon Wee di sini.

Manakala rakannya, Mohamad Nazrul Amirul Mat Nasir, 20, dari Taman Ehsan pula mengaku salah atas tuduhan menunggang secara melulu.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial.

Siti Hanum menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut.