KUALA LUMPUR : Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu enggan mengulas dakwaan abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia 2 bulan lalu.

“Minta KDN (Kementerian Dalam Negeri) siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya tindakan membawa balik abu mayat bekas pemimpin komunis itu mungkin mengguris hati anggota polis atau tentera.

Ia susulan laporan sebuah portal berita semalam, Chin Peng yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya “kembali ke rumah” pada 16 Sept lalu, iaitu selepas 6 tahun kematiannya.

Menurut kumpulan yang menguruskan perkara itu, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand 2 bulan lalu dan ditabur di laut serta hutan di sekitar tempat kelahirannya di Sitiawan, Perak.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata satu majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang diadakan sewaktu abu mayat itu tiba di Ipoh.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia dan KDN akan menyiasat kesahihan dakwaan itu.

Katanya, kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini seperti diputuskan sebelum ini.