PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu menambah kemenangan di kerusi Melayu pada pilihan raya akan datang, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ini bertujuan mengimbangkan PH supaya ia lebih kukuh selepas pilihan raya akan datang.

“PH mendapat sokongan semua kaum, cuma kita kena tambah sokongan orang Melayu supaya kerusi Melayu lebih banyak.

“Oleh itu, kami setuju untuk bekerja kuat bagi menarik sokongan orang Melayu,” katanya dalam program soal bicara di TV3 malam semalam.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad yang mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai PPBM bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Sebelum ini Mahathir berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada 6 parti, justeru melemahkan kedudukan orang Melayu

Pada masa sama, Mahathir menjelaskan, penubuhan lebih banyak parti orang Melayu tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul.

Presiden Amanah itu bagaimanapun optimis PH akan menang pada pilihan raya akan datang berdasarkan pengalamannya dalam arena politik selama lebih 40 tahun.

“Lebih 40 tahun saya berada dalam arena politik dan 39 tahun sebagai pembangkang, saya yakin dengan keputusan itu dan melihat suasana sekarang ini, PH akan menang lagi.

“Oleh itu saya tidak ada masalah dengan rayuan Mahathir supaya orang Melayu sokong PH termasuk PPBM, bahkan ramai juga memilih Amanah sekarang ini, termasuk pemimpin terutama bekas ahli Umno,” katanya.

PH kini menguasai 134 daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu 22 diwakili PPBM, Amanah (11), DAP (42), PKR (50) dan 9 Warisan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, beliau terguris hati apabila markas atau pentas yang dibangunkannya ketika dalam PAS kini digunakan oleh bekas presiden Umno, Najib Razak dan pemimpin Umno lain.

Katanya, ini kerana dulu Najib dan Umno memberi tekanan kepada PAS.

“Ada sedikit kesedihan, saya ini manusia bukan plastik. Kebanyakan markas PAS dibina seluruh negara di antaranya melibatkan kita, sama ada kutip derma dalam ceramah, buat jamuan makan malam. Kita sanggup korban untuk parti dan perjuangan dan terbinalah pejabat dan markas PAS di seluruh negara.

“Saya terkilan sedikit apabila markas yang dibina dengan keringat ahli PAS Bossku (Najib) dibawa ceramah di situ,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, itu adalah hak demokrasi PAS untuk memanggil sesiapa juga ke pentas mereka.

 

-FMT