KLANG : Selepas kembali menjadi pembangkang, Mohamad Sabu secara terbuka menyatakan beliau kini boleh beraksi seperti dahulu di pentas ceramah.

Presiden Amanah itu berkata, beliau sudah bebas untuk bercakap kerana tiada lagi protokol yang perlu diikuti sepertimana ketika menjadi penjawat awam.

“Lama saya tak bercakap macam ini, ramai orang kata Bang Mat berucap tak sedap, memanglah bila jadi menteri kena jaga fakta semua, haa… sekarang bermulalah serangan kami malam ini.

“Muhyiddin Yassin dan geng kamu… tidak akan senang menerima kebangkitan rakyat yang jitu sekarang ini,” katanya di Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Klang malam tadi yang dihadiri kira-kira 400 penyokong.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata Pakatan Harapan juga tidak pernah reda dengan perbuatan “merompak kerajaan” di tengah jalan.

Bekas menteri pertahanan itu berkata, beliau sudah mendapat maklumat mengenai gerakan mewujudkan kerajaan dominasi Melayu di negara ini.

“Kami tidak reda kerajaan yang dirompak di tengah jalan, kalau hebat kenapa tidak tunggu 5 tahun,” katanya merujuk kepada pembentukan kerajaan baru gabungan PPBM, Barisan Nasional, PAS yang di sokong GPS untuk mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

Mat Sabu berkata PH juga bersedia jika Parlimen dibubarkan untuk berdepan kerajaan Perikatan Nasional yang disertai BN.

“Kalau mereka kuat, mereka rasa yakin bubarlah Parlimen, kalau kami menang, kami ambil alih semula (kerajaan), kalau BN kalah sedialah jadi pembangkang.

“Bang Mat ini berapa kali kalah dalam pilihan raya. BN baru hilang kerajaan 2018, akan datang laluan kamu nak menang sudah ada, kamu menang banyak PRK kenapa tak boleh tunggu, kami boleh tunggu 60 tahun kenapa kamu tidak boleh tunggu 5 tahun?

“Sekarang rakyat kecewa, yang menang jadi pembangkang, yang kalah jadi kerajaan pemerintah, tak pernah berlaku dalam dunia, melainkan di Malaysia tanah airku,” katanya.

Ceramah tersebut dihadiri, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Setiusaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.