IPOH kini diisytiharkan sebagai kawasan kawalan rabies oleh Jawatankuasa Kesihatan susulan wabak itu di Malaysia baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak Dr Mah Hong Soon yang mengetuai pasukan petugas khas mengenai rabies berkata kerajaan negeri mematuhi prosedur ketat dan akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk daerah Matang secara rasmi bebas rabies.

“Mengisytiharkan ia sebagai kawasan kawalan rabies ialah satu permulaan.

“Masyarakat mungkin tertanya-tanya mengapa kami tidak lagi menarik balik perisytiharan itu tetapi kami mengikut standard antarabangsa berkaitan kawalan penyakit atau pencegahan,” katanya kepada wartawan semalam.

Pada 17 Julai, Menteri Besar Perak Dr Zambry Abd Kadir mengisytiharkan Matang kawasan jangkitan rabies, sebagai langkah mengawal kemungkinan wabak.

Pengisytiharan itu dibuat selepas pihak berkuasa mula memvaksin semua haiwan peliharaan dalam lingkungan 1km radius di mana anjing dijangkiti rabies mati selepas menggigit dua kanak-kanak di Kuala Sepetang, kira-kira 70km dari situ.

Dr Mah berkata keputusan untuk menarik balik kawasan Matang itu dibuat selepas 43 sampel daripada anjing, kucing dan monyet diambil di kawasan itu didapati negatif.

Katanya, Matang kini selamat untuk dikunjungi dan tidak ada lagi sekatan jalan raya untuk memeriksa pergerakan anjing dan kucing di kawasan itu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata wabak rabies di Serian, Sarawak kini terkawal. – 8 Ogos, 2017.